SABAR
Sabar dari sudut istilah, bermaksud
menahan diri daripada sifat gelisah dan beremosi, menahan lisan daripada
mengeluh serta anggota badan daripada perbuatan yang tidak terarah.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan
bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang ang menyeru Tuhannya pada
waktu pagi dan senja hari dengan mengharap keredhaan-Nya dan janganlah
kedua-dua matamu berpaling daripada mereka (kerana) mengharapkan
perhiasan kehidupan dunia ini dan janganlah kamu mengikuti orang yang
hatinya telah Kami lalaikan daripada mengigati Kami, serta menuruti hawa
nafsunya kerana keadaannya itu melewati batas.” (Surah al-Kahfi 18:28)
Menerusi ayat diatas,bersabar adalah
dengan sedaya upaya menahan diri terkeluar daripada kalangan mereka yang
beriman, yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah. Perintah sabar di
atas sekaligus sebagai pencegahan daripada keinginan manusia yang ingin
bersama dengan orang yang lalai daripada mengigati Allah s.w.t.
Sabda Rasulullah s.w.a yang bermaksud: “Dan solat itu laksana sinar rembulan, sedekah itu bukti keimanan, sedangkan sabar itu laksana sinar matahari.”(Riwayat Muslim)
Sememangnya,sabar itu bukan perkara yang mudah dilaksanakan kerana padanya terdapat kesulitan dan kepenatan.
Meskipun sinar matahari itu panas dan
tidak menyelesakan, manusia memerlukannya untuk mengeringkan pakaian
yang basah dan memberi cahaya kepada pelbagai tanaman dan tumbuhan serta
haiwan agar hidup segar dan sihat. Bumi akan suram tanpa hadirnya sinar
mentari. Itulah ibaratnya sifat sabar.Kita memerlukan walaupun ia
menagih sedikit kesusahan. Ternyata sabar itu indah!
KELUH-KESAH
Keluh-kesah berlawanan sifatnya dengan
sabar. Mereka yang mempunyai sifat ini kerap mengomel lantaran kerja
atau tekanan yang dihadapi walaupun kecil apatah lagi yang besar.
Biasanya sifat ini hadir lantaran rapuhnya hubungan dengan Allah s.w.t.
Mereka yang mempunyai hubungan yang baik dengan Allah s.w.t mempunyai
hati yang bersangka baik dengan Allah s.w.t atas setiap dugaan yang
berlaku dalam hidupnya. Bebanan hidup yang berat adalah salah satu
bentuk ujian Allah kepada manusia. Ujian itu diberi untuk menguji sama
ada manusia beroleh syurga atau neraka.
Manusia yang dicipta Allah sifatnya
tidak sempurna, tidak terlepas daripada melakukan kesalahan apabila
menerima ujian. Puteri kesayangan Rasulullah s.w.a juga diuji apabila
suatu ketika rasa keberatan melakukan kerja rumah bersendirian tanpa
pembantu rumah. Lantas dia meminta suaminya, Saidina Ali pergi menemui
Rasulullah s.w.a. untuk meminta pembantu rumah.
Permintaan Fatimah itu tidak dapat
dipenuhi. Bahkan ia amat membimbangkan Rasulullah s.w.a, kerana aduan
itu timbul daripada perasaan keluh-kesah seorang isteri yang tertekan
akibat tugas-tugas yang perlu dibereskannya.
Rasulullah s.w.a. bertemu dengan
puterinya lalu menasihatkannya supaya membaca Subhanallah, Alhamdulillah
dan Allahuakbar sebanyak 33 kali setiap kali sebelum tidur.Selepas itu,
Sayidina Ali dan isterinya mengamalkan wirid yang diajar oleh
Rasulullah s.w.a. Hasilnya, Fatimah mendapati dia tidak lagi
berkeluh-kesah dalam menghadapi kerja-kerja sehariannya yang berat,
malah berasa cukup bahagia melakukannya.
Itulah dia ubat yang mujarab dalam
menghadapi dugaan dan menjauhkan kita daripada bersifat keluh-kesah.
Moga ingatan kita yang tidak henti-henti kepada Allah s.w.t akan
menyebabkan kita berasa tenang bahkan bahagia menghadapi kehidupan
sehari-hari. Insya-Allah.
Wallahu’alam….
0 comments:
Post a Comment